Ghaib Secara Misteri
Kisah hidupnya bermula kira-kira dua bulan lalu, apabila Siti Balqis Mohd Nor ini dikatakan ghaib secara misteri hampir setiap kali tiba waktu senja atau pada tengah malam sebelum dia ditemui semula di lokasi yang sukar dijelaskan kehadirannya. Antara lokasi itu di tanah perkuburan, di atas pokok, di atas siling dalam rumahnya dan dalam kejadian terbaru kelmarin, Siti Balqis ditemui dalam mesin pembancuh simen berhampiran rumahnya. Siti Balqis juga mendakwa dia luka pada tangan dan kaki ketika berada di sebuah mesin pembancuh simen tidak jauh dari rumah dan ketika di atas pokok manggis, di belakang rumahnya. Biarpun dikawal rapi keluarganya, gadis itu tetap ghaib apabila individu yang mengawalnya leka atau terlepas pandang beberapa detik saja. Dia juga mendakwa ternampak saudara mara dan orang kampung mencarinya, malah ketika berada di sebuah rumah tinggal, dia menyentuh bapa saudaranya tetapi tidak perasan kehadirannya.
Kejadiannya memang aneh dan mungkin ada menganggapnya tidak logik, namun hakikatnya ia benar-benar berlaku sehingga menggemparkan penduduk setempat dan turut menarik perhatian pemimpin masyarakat. Kejadian misteri itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Ramlan Ali yang meminta penduduk mengawal sekitar rumah keluarga Siti Balqis setiap malam, namun usaha itu tetap gagal.
SMS dari Kubur
Tiga hari sebelum Aidilfitri lalu, Siti Balqis didakwa telah ghaib secara misteri dari rumah keluarganya dan hanya menyedari berada di perkuburan Kampung Bukit Kenak, kira-kira lima kilometer dari rumahnya."Ibu cepatlah datang segera ke kubur, Siti takut tiada orang lain di sini."
khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Siti Balqis Mohd Nor selepas tiba-tiba menyedari berada di perkuburan Kampung Bukit Kenak. Selepas tersedar berada di kubur Kampung Bukit Kenak, dia tiba-tiba berada pula di kubur Kampung Gong Rengas, kira-kira 10 kilometer dari rumahnya. Siti Balqis mendakwa hanya mengetahui kisah kubur berkenaan apabila dibawa semula ke kawasan berkenaan, tetapi hingga kini tidak tahu siapa yang membawanya, apa yang dilihat dan dilakukannya sepanjang lima hingga enam jam berada ‘di alam ghaib’.Suara Dari Dalam Kubur..
Sepanjang di tanah perkuburan itu, dia mendengar orang menangis, meminta tolong dan mengaji al-Quran. Sementara itu, ibunya, Norizan Said, 47, berkata, pada malam mendapat SMS Siti Balqis, beliau bersama suami serta seorang lagi anaknya bergegas ke kubur berkenaan, tetapi selepas puas mencari, mereka tidak menemuinya.
“Kami bergegas pula ke kubur di Kampung Gong Rengas dan di satu kubur baru, ada bekas seperti diduduki seseorang, tetapi Siti tiada di situ,” katanya dan menambah mereka kemudian ke Balai Polis Jertih pada jam 5 pagi untuk membuat laporan. Bagaimanapun, sejurus masuk ke rumah kira-kira jam 6 pagi, Siti muncul di depan rumah dengan tubuhnya dibasahi air dan baju berlumuran tanah merah.
Khidmat Tujuh Bomoh
Ibunya, Norizan menggunakan khidmat tujuh bomoh untuk mengubati anaknya secara tradisional. Sementara itu, kalangan ahli agama di negeri ini berpendapat kejadian itu mungkin disebabkan gangguan jin yang cuba merosak keimanan manusia dan cara terbaik mengatasinya ialah amalan zikir dan membaca al-Quran serta solat hajat dan tahajud selain ahli keluarga Siti Balqis sentiasa berdoa kepada Allah meminta dilindungi daripada perbuatan sihir dan diganggu syaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan