AMARAN: Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, orang yang lemah semangat, lemah syahwat mahupun yang lemah tenaga batin adalah DILARANG mengunjungi laman blog ini tanpa bimbingan mereka yang berpengalaman.

"Sesungguhnya makhluk-makhluk halus itu dapat melihat kamu sedangkan kamu tidak dapat melihat mereka." (Surah al-A'raaf, ayat 27)

Ahad, 22 Ogos 2010

Kisah Hantu Kubur

Kisah ini dah lama aku simpan. Ianya diceritakan kepadaku kira-kira 12 tahun yang lalu. Ketika itu aku masih belajar di kolej dan sedang menjalani latihan praktikum di selatan tanah air. Kisahnya begini, tiga orang rakan sekolejku ditugaskan menjalani praktikum bersama-sama. Ketiga-tiga mereka biarlah aku namakan secara ringkas iaitu, Asri, Rosdi dan Din. Di antara ketiga-tiga mereka, Rosdi adalah yang paling penakut tapi mengaku berani.
Apabila dikehendaki menjalani praktikum maka ketiga-tiga mereka pun kelam kabutlah mencari rumah sewa kerana ketiga-tiga mereka adalah di antara penuntut yang menjalani praktikum paling jauh jaraknya dari kolej. Jika berdekatan dengan kolej tak perlulah mereka nak mencari rumah sewa kerana boleh menginap di asrama.
Setelah bertungkus-lumus mencari rumah sewa akhirnya dapatlah sebuah rumah kampung yang mana kedudukannya agak jauh dari rumah penduduk kampung yang lain. Sewa bulanannya hanya RM150 sebulan.
Setelah berjumpa dengan tuan rumah ketiga-tiga mereka pun di bawa melihat rumah yang dimaksudkan. Rumahnya kecil, hanya terdapat satu bilik, ruang tamu yang sempit dan dapur. Kebetulan Si Rosdi ni meninjaulah ke dapur dan membuka pintu dapur. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati lebih kurang 4 meter sahaja dari pintu dapur itu terletak tanah perkuburan. Tandas pulak terletak juga kira2 empat meter dari rumah. Ini bermakna, sekiranya berhajat nak melepaskan sesuatu benda kenalah berjalan merentasi celah-celah kubur tu. kalau waktu siang boleh tahan le lagi tapi kalau malam?
Rosdi dah mula gelisah tapi kerana dah terdesak dan dah bayar wang deposit, terpaksalah dia bersetuju. Lagipun latihan praktikum tu hanya 3 bulan sahaja.
Pada malam pertama mereka menginap di rumah tu memang tak ada gangguan apa2. Sehinggalah masuk minggu ketiga praktikum apabila ketiga-tiga mereka pulang dari makan malam di sebuah warung di tepi laut. Untuk pengetahuan tempat praktikum mereka ni memang hampir dengan laut. Apa lagi hampir tiap-tiap malam la makan makanan laut.
Setelah sampai ke rumah jam 9.30 malam tiba-tiba berlaku gangguan bekalan elektrik (blackout). Nasib baik esok cuti, jadi tak perlulah nak siapkan bahan untuk praktikum esok. Setelah bergelap selama lebih kurang 2 jam, maka ketiga-tiga mereka mengambil keputusan untuk tidur awal.
Lebih kurang 30 minit lepas tu ketiga-tiga mereka pun terlelap sehinggalah Asri yang amat mudah terjaga terbau sesuatu yang begitu busuk sehingga menyesakkan nafas. Dalam kegelapan malam tu Asri meraba-raba ke arah Rosdi yang tidur di tengah2 di antara dia dan Din. Asri cuba menggoncang tubuh Rosdi tapi tak bergerak. Asri memanggil Din. Rupanya Din dah terjaga awal lagi dek kerana tak tertahan menghidu bau busuk. Dengan keberanian yang ada, Asri mengajak Din untuk melihat apakah benda yang mengeluarkan bau yang amat busuk yang datang dari arah dapur itu. Dalam kegelapan malam tu, Din cuba mencari pemetik api tapi yang dicapainya sebatang penyapu. Kedua-dua mereka berjalan sambil teraba-raba ke arah dapur. Dari pintu bilik air nampak macam ada cahaya api. Perlahan-lahan mereka berdua menghampiri bilik air. Din nekad di dalam hatinya, hantu atau manusia, yang penting merasa penangan penyapu ditangannya dulu. Apabila sampai di hadapan pintu bilik air kedua-dua mereka terus menerpa. Alangkah terperanjatnya mereka melihat Rosdi sedang mencangkung melepaskan hajat di dalam bilik air sambil memegang sebatang lilin. Baunya usah dikira, macam makanan laut yang busuk pun ada. Din pulak nyaris-nyaris nak pelangkung dengan penyapu kerana disangkanya toyol tua. Malam tu sampai ke pagi Rosdi asyik kena kutuk dengan Asri dan Din.
Tapi dalam dok kutuk tu Asri menyimpan satu rahsia yang tak diceritakan pada kedua-dua rakannya itu. Bila dah habis tempoh praktikum Asri menceritakan pada aku, yang menjadi kemusykilannya malam tu, kalau Rosdi yang berada di bilik air sedang asyik melepaskan hajat, siapa pula yang berada di tempat tidur Rosdi?

2 ulasan:

  1. hahaha....lucu...
    kepaksa nahan ketawa..

    BalasPadam
  2. Eh buat kelakar seram lak dia... Kahkahkah...

    BalasPadam